JULAI 2023

HDA Fokus Bangun Infrastruktur


KUCHING: Agensi Pembangunan Tanahtinggi (HDA) akan memfokus pembangunan infrastruktur utama seperti jalan raya dan jambatan yang sangat diperlukan oleh penduduk di kawasan Baram.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, setakat ini HDA telah mengenal pasti 29 projek berkenaan di samping 19 projek bekalan air dan dua projek belalan tenaga.

Daripada jumlah itu, lapan telah siap, 12 masih dalam pelaksanaan, 18 masih dalam peringkat ditender dan 12 dalam peringkat rekabentuk, katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusi mesyuarat lembaga pengarah HDA keenam di sini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, HDA komited dalam membangunkan projek berkenaan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi dan kehidupan penduduk di Baram.

Beliau berkata, untuk melaksanakan projek itu, HDA harus memiliki strategi komprehensif supaya pembangunannya turut memberi manfaat kepada penduduk mengecapi arus pembangunan negeri.

Pengarah wilayah HDA, Semual Belawan dalam taklimatnya pada mesyuarat itu berkata, kerja menaik taraf jalan Long Lama ke Logan Sibong sedia ada mendahului jadual.

Projek berharga RM66.794 juta itu siap 82.13 peratus berbanding jadual asal 58.68 peratus dan dijangka siap pada Februari, 2024, katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri penasihat HAD, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu, ADUN Mulu merangkap Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Gerawat Gala, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyie Ngau, ADUN Telang Usan, Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif RECODA, Datu Ismawi Ismuni dan semua ahli lembaga HAD.

Sumber dari : Jiwa Bakti